03/11/2026
MASIH MUDA, AKTIF DAN NAMPAK SIHAT. TAPI BOLEH KENA STROK?
Selama ini, bila sebut strok, kita selalu bayangkan orang yang dah berusia. Mungkin mak ayah, datuk atau nenek kita.
Tapi sebenarnya, orang muda pun tak terkecuali.
Ada yang baru berusia 20-an atau 30-an. Masih bekerja, aktif bersukan, keluar dengan kawan-kawan dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Persoalannya, macam mana orang yang nampak sihat pun boleh mengalami strok?
Menurut Malaysia National Stroke Registry 2017–2024, sebanyak 12.7% pesakit strok yang direkodkan berumur bawah 45 tahun.
Walaupun purata umur pesakit strok ialah 60.6 tahun, angka ini mengingatkan kita bahawa strok bukan hanya berlaku kepada golongan berusia.
Kenapa orang muda juga berisiko?
Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko strok ialah:
Tekanan darah tinggi – Kadang-kadang tiada gejala, sebab itu ramai tak sedar.
Diabetes – Paras gula yang tidak terkawal boleh merosakkan salur darah.
Kolesterol tinggi – Boleh menyumbang kepada penyempitan salur darah.
Merokok – Meningkatkan risiko kerosakan salur darah dan pembentukan darah beku.
Berat badan berlebihan – Boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan diabetes.
Namun, bukan semua orang yang mengalami strok mempunyai berat badan berlebihan atau kelihatan tidak sihat.
Ada juga faktor lain seperti masalah jantung, gangguan pembekuan darah dan keadaan tertentu yang boleh menyebabkan strok pada usia muda.
Apa yang lebih membimbangkan, tanda awal strok kadang-kadang tidak disedari.
Tiba-tiba muka senget, sebelah tangan atau kaki lemah atau percakapan menjadi pelat.
Ada yang mungkin fikir cuma penat atau kurang tidur. Sedangkan strok memerlukan rawatan kecemasan.
Jika tanda ini berlaku secara tiba-tiba, jangan tunggu gejala hilang. Segera lakukan pemeriksaan.
Kita selalu fikir, selagi masih muda, badan masih kuat.
Sibuk bekerja, mengejar komitmen, menjaga keluarga. Sampai kadang-kadang pemeriksaan kesihatan sendiri pun kita tangguhkan.
Hakikatnya, nampak sihat di luar belum tentu semuanya baik di dalam.
Tak perlu tunggu umur 50 atau 60 tahun baru nak ambil serius tentang kesihatan.
Mulakan dengan perkara kecil. Periksa tekanan darah, jaga pemakanan, aktif bergerak dan buat pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Sebab strok tak memilih umur. Dan kesihatan bukan sesuatu yang patut kita tunggu sampai hilang baru nak hargai.