07/08/2025
MELAKA, 4 Ogos 2025 – Seramai 60 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyertai Kursus Pengendalian Makanan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat AIM, bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Program yang dijalankan secara dua sesi iaitu pagi dan petang ini melibatkan 30 peserta bagi setiap sesi, dan telah dikendalikan oleh Puan Faridah Mislam, seorang jurulatih bertauliah yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH).
Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para Sahabat berkaitan aspek keselamatan, kebersihan dan pengurusan makanan yang betul selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Penekanan turut diberikan kepada pematuhan garis panduan kesihatan dalam operasi harian perniagaan makanan, termasuk aspek penyimpanan, penyediaan dan pengendalian makanan secara selamat.
Melalui penganjuran kursus ini, para Sahabat yang terlibat dalam perniagaan makanan dapat meningkatkan tahap profesionalisme, keyakinan pelanggan serta mematuhi piawaian kesihatan yang digariskan dalam industri makanan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan AIM dalam memperkasakan usahawan mikro ke arah perniagaan yang lebih mampan, selamat dan berdaya saing.
Selain sesi pembelajaran, kursus ini turut menjadi platform perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan peserta, sekali gus menggalakkan jaringan sokongan dan motivasi sesama usahawan dalam komuniti AIM.